KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan sentiasa memastikan sebarang penjimatan dan hasil tambahan diutamakan untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat terutamanya dalam meringankan beban sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesejahteraan rakyat adalah undang-undang tertinggi.
Jelas beliau, buat pertama kali dalam sejarah, kadar kemiskinan tegar negara menurun daripada 0.2 peratus ke paras hampir sifar, hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh Malaysia.
"Ini kerana kita menggunakan kadar PGK Makanan 2022 RM1,198 sebelum ini. Susulan kenaikan PGK Makanan 2024 kepada RM1,236, Insya-Allah baki 7,000 miskin tegar dinoktahkan sebelum akhir tahun ini," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga 2028.
"Selain itu, RM120 juta disediakan sebagai geran padanan untuk yayasan GLIC dan GLC berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat seperti menangani keperitan golongan miskin bandar, mengatasi gelandangan di bandar dan membina keupayaan bekas penghuni rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berdikari," jelas beliau.
Pada masa sama, bantuan JKM terus disalurkan kepada lebih 560,000 penerima dengan peruntukan RM3.1 bilion, berbanding RM2.9 bilion.
Jualan RAHMAH juga memberi manfaat besar untuk rakyat bagi membeli barangan asas pada harga lebih murah. Tahun hadapan, RM1 bilion disediakan bagi menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta khusus untuk memperbanyakkan program Payung RAHMAH di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Bagi rakyat pedalaman di Sabah dan Sarawak, RM250 juta disediakan bagi menanggung kos pengedaran barangan asas ke kawasan seperti Taradas, Kudat dan Kawayoi, Kinabatangan di Sabah serta Entaroh, Kapit dan Nanga Segeris, Sibu di Sarawak.
Datuk Seri Anwar berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya memupuk budaya perniagaan tanpa tunai dalam kalangan penjaja kecil di Pulau Tioman dan Kabong, Sarawak, selain menganjurkan latihan usahawan kepada Komuniti Tenun Songket Penjara Marang, Terengganu.
RM50 juta disediakan kepada BSN, antaranya untuk menyediakan geran perniagaan sehingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro berpotensi sebagai modal membeli peralatan perniagaan.
Selain itu, menyediakan khemah penjaja, peranti 'sound box' dan sistem QR kepada peniaga pasar malam di Pangkor, Perak dan Kuala Tahan, Pahang.
Ia juga bagi menganjurkan program bimbingan keusahawanan kepada Penjara Penor, Pahang dan Penjara Taiping, Perak; dan menganjurkan program pembangunan usahawan di IPT untuk melatih mahasiswa yang mahu menceburi bidang perniagaan.