fb fb fb fb fb

Nahas MPV di Dungun: Dua lelaki termasuk warga Pakistan maut, enam cedera

Foto RTM

DUNGUN, 29 Disember - Dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan maut, manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Dungun, Terengganu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi di Kilometer 3, Jalan Paka–Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Paka.

Menurut beliau, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Asyraf Mohd Zahir, 21 tahun, dan warga Pakistan, Siraj Norman, 27 tahun, yang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Dalam kejadian itu, enam lagi mangsa termasuk seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari sebuah rumah di Kampung Nyior ke Santung, Paka bagi melakukan kerja-kerja projek pendawaian elektrik.

Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan MPV yang dinaiki dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu.

Enam mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam, manakala dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan dikeluarkan oleh anggota bomba kira-kira 15 minit kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

EZA YUSMAWATI YAACOP