fb fb fb fb fb

Empat penunggang motosikal maut, polis giat jalankan siasatan

GEORGE TOWN, 17 Julai- Polis giat menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berikutan kemalangan maut melibatkan empat penunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Pusat Bandar, kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, tiga mangsa Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, Muhammad Shazwan Hakim dan Ahmad Haikal Naif dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Sementara, Muhammad Harith Zikri Yusnizar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau berkata, kemalangan yang melibatkan beberapa lelaki berusia 17 hingga 34 tahun itu dipercayai berlaku selepas mereka hilang kawalan dan merempuh sesama sendiri ketika berlumba secara haram.

Dalam insiden itu, dua buah kereta turut dirempuh oleh kumpulan motosikal terbabit dari arah belakang.

(Antara mangsa kemalangan yang maut di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi tadi)

Sejak kejadian pagi tadi, tular video kejadian yang disaksikan pengguna jalan raya yang berkumpul dan meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya berkenaan.

Tiga lagi individu yang mengalami cedera parah kini sedang menerima rawatan di HPP.

Dalam pada itu, pihak polis meminta ibu bapa untuk mengawasi anak-anak di bawah jagaan supaya tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram yang turut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Media Baharu