KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Isu kesesakan di hospital awam akan dileraikan menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dirangka kerajaan bagi memperkukuh sistem kesihatan negara dan memperluas capaian rawatan kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meningkatkan kerjasama bagi menyumber luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan sebanyak RM140 juta.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan tekanan terhadap hospital awam yang berdepan peningkatan jumlah pesakit saban tahun, sambil memastikan rakyat tetap menerima rawatan berkualiti,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, peranan klinik kesihatan turut diperkasa bagi menyediakan perkhidmatan pakar kepada komuniti dengan peruntukan RM30 juta, sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hospital awam.
“Kerajaan akan terus memperluas kemudahan kesihatan dengan membina hospital, klinik dan blok tambahan baharu di seluruh negara, termasuk Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah serta Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II,” katanya.
Antara projek lain yang turut dilaksanakan ialah pembinaan blok tambahan baharu di Hospital Pontian, Johor; Hospital Banting dan Hospital Sungai Buloh, Selangor; serta Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian, Kelantan.
Selain itu, 13 Klinik Kesihatan baharu akan dibina termasuk di Machang (Kelantan), Teluk Kemang (Negeri Sembilan), Mukah (Sarawak) dan Nabawan (Sabah), selain mempercepatkan pelaksanaan Pusat Kanser di Kuching serta Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor.
Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi Belanjawan 2026.
BERITA BERKAITAN