KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Belanjawan 2026 memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan, meningkat berbanding RM45.3 bilion tahun ini, sebagai komitmen kerajaan memperkukuh sistem kesihatan negara selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkhidmatan kesihatan menagih suatu kebijakan dan pendekatan holistik bagi meleraikan segala kerumitan yang membelenggu, justeru RMK13 menegaskan keperluan reformasi kesihatan menyeluruh berpandukan empat tonggak Kertas Putih Kesihatan.
“Pembaharuan ini penting bagi membina integrasi utuh antara sektor awam dan swasta, dengan matlamat memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu bayar untuk manfaat rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan komited menumpukan kepada enam permasalahan utama sektor kesihatan, termasuk usaha mempertingkat mutu prasarana kesihatan awam di seluruh negara.
“Semua hospital dan klinik kerajaan akan diselenggara dan dibaik pulih melibatkan peruntukan RM1.2 bilion, manakala wad hospital daerah turut dinaik taraf dengan RM100 juta. Peralatan perubatan lapuk akan diganti selain memperoleh peralatan canggih bernilai RM755 juta,” katanya.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyediakan RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti serta klinik desa.