KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta dalam Belanjawan MADANI 2026 bagi memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan melalui latihan serta perolehan aset baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi membendung ketirisan yang sekian lama dibiarkan akibat kurangnya tekad politik dan kelemahan penguatkuasaan sebelum ini.
“Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan.
Bayangkan wang yang disakau dan dirompak, dalam tempoh dua tahun ini sahaja mencecah 15.5 bilion ringgit dapat dikembalikan kepada negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan hasil itu adalah kejayaan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Menurut Datuk Seri Anwar, usaha memperkukuh agensi penguatkuasaan ini selaras prinsip tatakelola baik bagi memastikan setiap sen wang rakyat dilindungi dan dimanfaatkan secara berakauntabiliti.
"JKDM akan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui Centralised Screening Complex CCTV.
Manakala, ikhtiar e-Invois dilaksanakan secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai. Pembayaran balik cukai terlebih bayar juga akan disegerakan," ujarnya lagi.