KUALA LUMPUR, 10 Oktober - RM2.6 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 sebagai tekad kerajaan memastikan syiar Islam terus syumul dan diperkasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, melalui peruntukan tersebut kerajaan bersedia menambah ilmu baharu untuk institusi pondok.
"Sementara mempertahankan kurikulum tradisional, kita sedia menambah ilmu baharu seperti digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk masa depan anak-anak.
"Selain itu, prasarana sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz ditambah baik termasuk penggantian peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar dengan peruntukan RM150 juta," kata Datuk Seri Anwar pada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah beliau, menerusi peruntukan bawah Tekad Sembilan Belanjawan 2026 itu, 720 anak-anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA yang boleh dimanfaat setelah tamat pengajian.
Turut ditekankan, institusi masjid yang akan terus diimarah sebagai pusat komuniti.
"Anugerah Masjid Malaysia akan diperkenal bagi mengiktiraf masjid cemerlang. Konvensyen Masjid turut dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat.
"Majlis-majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat MADANI terhadap Islam. Ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 bagi memberi peluang umat Islam menghayati hadis-hadis yang diperdengarkan dengan bacaan penuh tartil oleh para ulama," ujar beliau.
Menerusi Tekad Sembilan juga, Datuk Seri Anwar memberitahu kerajaan bersetuju supaya had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menunaikan ibadat haji ditingkatkan kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.
"Selain itu, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) penjawat awam akan diperluas bagi tujuan menunaikan haji, terhad kepada penebusan RM10,000 yang melibatkan peruntukan RM10 juta,"katanya.