CHERAS, 3 Julai - Kerajaan tidak melihat sebarang keperluan untuk menangguhkan pelaksanaan Projek Kota MADANI memandangkan ia merupakan langkah penting bagi menyelesaikan isu penempatan penjawat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata projek tersebut memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat awam yang kini menunggu untuk mendapatkan kuarters kediaman.
“Mereka yang menunggu, terutama sekali penjawat-penjawat awam ini ramai, sehingga 17,000 orang. Maka unit yang kita bina nanti untuk dalam Kota MADANI lebih kurang 10,000 orang.
"Jadi itu akan membantulah sedikit sebanyak untuk menyelesaikan masalah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di sini, hari ini.
Projek Kota MADANI bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Bina-Pajak-Selenggara-Pindah (BLMT) tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Projek itu bakal merangkumi lebih 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi, mampu menampung lebih 30,000 penduduk, serta akan dilengkapi dengan sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam lain.