fb fb fb fb fb

Tiada keperluan selaras sijil tauliah mengajar

KUALA TERENGGANU, 27 Mac- Tiada keperluan untuk penyelarasan sijil pentauliahan mengajar dalam kalangan penceramah agama di semua negeri kerana perkara tersebut bawah bidang kuasa negeri-negeri.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menganggap setakat ini urusan agama termasuk pentauliahan mengajar masih mampu diuruskan dengan baik oleh negeri-negeri tanpa sebarang masalah.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, jika mahu diselaraskan, ia perlu dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan dibincangkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

"Nak sebarkan agama dan sebagainya kita tak halang sebenarnya, secara umumnya tetapi kita tak mahu jadikan masjid, surau tempat penyebaran politik masing-masing.

"Pasal itu saya sebutkan politik kepartian, bukan politik pentadbiran, isu ini maknanya kita nampak buat masa sekarang negeri boleh tadbirkan secara bersendirian, tidak banyak timbulkan masalah," katanya.

(Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail)

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2023-2027 dan Laman Web Baharu Maidam, di sini hari ini.

Media Baharu