PHNOM PENH, 27 Mac-Malaysia memberi komitmen bagi membantu Kemboja dalam memastikan produk halal daripada negara itu menembusi pasaran antarabangsa terutamanya, negara timur tengah.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada komuniti perniagaan Kemboja bagi merealisasikan perkara tersebut.
"Berkaitan industri halal, ini merupakan satu peluang buat Malaysia dan Kemboja bagi menggalakan eksport ke beberapa negara seperti Timur Tengah", katanya dalam Sidang Media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sempena lawatan rasminya sulung ke Kemboja.
Terdahulu, Perdana Menteri dibawa ke Peace Palace yang merupakan pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggalakan syarikat perusahaan beras Malaysia agar menjalin kerjasama dalam aktiviti pengimportan beras dan kacang gajus dari Kemboja.
Jelas Anwar, perkara tersebut didorong oleh kejayaan Kemboja dalam menjamin kestabilan penghasilannya.
"Perdana Menteri Kemboja menyatakan kejayaan kemboja dalam penghasilan beras dan mampu memenuhi keperluan negara dan rakyat. Kejayaan tersebut akan menjadi penggalak kepada syarikat beras Malaysia bagi mengimport beras dan kacang gajus dari Kemboja", kata Anwar.
Pada tahun 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelapan terbesar di kalangan negara ASEAN.
Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja direkodkan pada USD683.6 juta iaitu meningkat 20.8 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021 sebanyak USD566.1 juta.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/FOTO RTM)