fb fb fb fb fb

PATI lubuk emas penguat kuasa mengaut rasuah

(Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM)

PUTRAJAYA, 27 Mac - Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini membuka peluang penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk menangguk di air keruh mengaut rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berpandangan tidak kira sama ada mereka ini mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi “kosong” tanpa permit dan berstatus PATI, kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.

"Inilah kejadian yang sering dihadapi oleh golongan warga asing.

"Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia.

"Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan," katanya.

Tambah Ahmad Khusairi, slogan “Malaysia Boleh” turut dijadikan sindiran sinis di mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah.

"Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.

"Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya. Komen yang biasa kita dengar “ia adalah kejadian terpencil” sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini,"katanya.

(FOTO HIASAN/BERNAMA)

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi berkata rasuah boleh berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing. Ini antaranya termasuk proses permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat, penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja dan memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen.

"Ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini.

"Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket," katanya di laman web rasmi SPRM pada Isnin.

Isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh.

Kesannya amat buruk kerana ia melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.

Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

Media Baharu