KUALA LUMPUR, 16 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi rombakan kabinet dan menegaskan tiada keperluan untuk menyusun semula barisan Jemaah Menteri, ketika ini.
Tambah beliau, meski berdepan pelbagai perubahan dasar ekonomi seperti kajian semula unjuran dan tarif, semua kementerian termasuk Kementerian Ekonomi masih berfungsi dengan baik di bawah kepimpinan sedia ada.
Beliau turut menjelaskan bahawa status Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sedang bercuti tidak menjejaskan kelangsungan tadbir urus kementerian.
"Setakat ini, tidak ada keperluan untuk rombakan apa-apa. Saudara Rafizi telah berkhidmat dengan baik sebagai Menteri Ekonomi dan saya ucapkan selamat berjaya kepadanya.
Dia masih sedang bercuti dan saya akan buat keputusan pada waktunya. Tak perlu timbulkan spekulasi," katanya dalam sidang media selepas Persidangan Energy Asia 2025, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan semula Kementerian Ekonomi adalah kesinambungan daripada peranan asal Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang sebelum ini beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa langkah tersebut tidak menimbulkan sebarang isu berkaitan struktur pentadbiran kerajaan yang sedia ada.
Fungsi EPU kini diselaraskan sepenuhnya bawah kementerian tersebut tanpa sebarang isu berbangkit.