KUALA LUMPUR, 16 Jun- Aplikasi teknologi pemantauan cuaca terkini dalam sistem amaran awal, membantu memastikan maklumat cuaca sampai dengan cepat kepada semua pihak berkepentingan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Maqrun Fadzli Mohd Fahmi.
Menurut beliau, kerjasama rapat juga dilakukan dengan agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Bertujuan memastikan maklumat ramalan cuaca digunakan secara strategik untuk perancangan pengurusan bencana.
Mengulas mengenai Monsun Barat Daya yang berlaku pada setiap tahun, Maqrun berkata ia membawa pelbagai risiko cuaca ekstrem, terutamanya cuaca panas berpanjangan, kemarau serta risiko jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam.
Jelas beliau, corak cuaca semasa monsun ini lazimnya memperlihatkan pengurangan jumlah hujan secara signifikan.
“Hari-hari tanpa hujan adalah lebih banyak daripada hari hujan dan ini akan menyebabkan keadaan jadi lebih panas dan juga kering.
"Isu utama sewaktu Monsun Barat Daya adalah keadaan kemarau dan juga potensi untuk berlakunya jerebu. Walau bagaimanapun, risiko jerebu boleh dikurangkan sekiranya pembakaran terbuka dalam skala yang besar dielakkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam program Selamat Pagi Malaysia Radio Televisyen Malaysia di Angkasapuri.