KEM MARAKAH, 16 Jun- Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-67 turut diraikan warga TUDM MALBATT 850-12 yang bertugas di Lubnan.
Bertemakan “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”, sambutan diadakan di Padang Kawad, Kem Marakah, Lubnan.
Perbarisan yang berkonsepkan statik melibatkan dua detasmen yang terdiri daripada empat pegawai dan 67 anggota lain-lain pangkat (LLP) TUDM MALBATT 850-12 yang diketuai oleh Ketua Kontinjen TUDM, Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar Hadzir TUDM.
Sempena perbarisan tersebut, Leftenan Kolonel Mohd Noradzhar turut menyampaikan Perutusan sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-67daripada Panglima Tentera Udara kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Beliau menzahirkan ucapan penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan warga TUDM yang masih berkhidmat dan juga yang telah bersara dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan negara.
Perutusan itu juga turut meliputi peranan strategik, pencapaian dan halatuju masa hadapan TUDM di dalam CAP55.
Katanya, TUDM sebagai tunjang utama pertahanan ruang udara negara, berperanan sebagai benteng kedaulatan yang utuh, sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dan teguh dalam menjulang maruah serta kedaulatan tanah air tercinta.
Seluruh warga TUDM diharap terus meningkatkan profesionalisme, memperkukuh semangat juang dan menyemai semangat iltizam untuk terus memastikan angkatan keramat ini sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tertinggi.
Selesai perbarisan, acara diteruskan dengan acara bergambar di Kem Marakah, disusuli Majlis Ramah Mesra dan jamuan makan bersama pegawai dan anggota LLP.
Majlis diserikan dengan kehadiran Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh dan Timbalan Komander, Lt Kol Firdaus Shah Budin serta pegawai kanan lain.