fb fb fb fb fb

Tiada keperluan pertikai keabsahan PM menerusi usul undi percaya - pakar

KUALA LUMPUR, 26 November - Tiada keperluan untuk mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana pun jelasnya, kesediaan Anwar sendiri untuk diuji di Parlimen merupakan satu tindakan positif sekali gus membuktikan keabsahan dan tiada lagi yang mempertikai kepimpinan beliau.


(Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian ketika ditemu
bual Berita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri) 

"Undi tidak percaya, beliau (Anwar) sendiri menyatakan bahawa akan diusulkan oleh Pakatan Harapan, apabila beliau menjadi ketua dewan nanti, ada timbalan ketua dewan, ada setiausaha dewan dan apabila itu dibawa oleh kabinet atau pun anggota gabungan besar beliau sendiri, itu menampakkan bagaimana beliau bersedia untuk dinilai oleh anggota dewan dan juga meletakkan noktah kepada keabsahan yang sudah pun diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong," kata beliau ketika ditemui Berita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan pembentangan usul undi percaya, antara agenda sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Usul percaya itu juga bakal membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap beliau, sekali gus memperkukuh kestabilan kerajaan perpaduan.

Media Baharu