fb fb fb fb fb

Sektor pelancongan negara dijangka terus positif susulan pembentukan kerajaan baharu

(Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof ditemu
bual media selepas merasmikan Roadshow Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022 di Bandaraya Melaka) 

BANDARAYA MELAKA, 26 November - Sektor pelancongan negara dijangka terus menunjukkan perkembangan positif dengan pembentukan kerajaan baharu.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata ia dipacu dengan pertambahan penerbangan antarabangsa yang kembali memasuki Malaysia sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong asing untuk melawat negara ini.

Ia ditambah lagi dengan usaha pihaknya yang melaksana promosi secara fizikal di pameran-pameran pelancongan antarabangsa selain menggalakkan pelancongan domestik kepada pelancong tempatan.


(Foto hiasan)

Usaha juga dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pelancong dari China yang masih terjejas susulan pandemik COVID-19.

"Dan kita dapat lihat daripada media massa ada penerbangan antarabangsa mula masuk ke Malaysia, jadi kita bergantung kepada kehadiran pesawat-pesawat antarabangsa, kalau kita lihat dalam masa tempoh sebulan ini kita dapat daripada KLM, kita dapat dari Turkish Airline, jadi itu adalah antara beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang mula terbang kembali ke Malaysia, jadi itu akan meningkatkan kembali permintaan dan pelancong asing ke Malaysia," kata beliau selepas merasmikan Roadshow Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, di sini hari ini.

Ia merupakan siri jerayawara ke-8 selepas menjelajah ke beberapa negeri bermula Mei lalu dan berjaya meraih hasil jualan pakej pelancongan mencecah lebih RM8 juta.

Media Baharu