fb fb fb fb fb

Johor sasar kehadiran lebih lima juta pelancong tahun depan

(FOTO FAIL)

JOHOR BAHRU, 26 November - Johor menyasarkan lebih lima juta pelancong asing melawat negeri itu tahun depan, selari hasrat menjadikan sektor pelancongan di kedudukan nombor satu sekali gus memperkasa pembangunan ekonomi negeri. 
   
Angka itu mampu dicapai dengan pelbagai penganjuran termasuk 12 acara besar dan lokasi baharu pelancongan seperti taman rekreasi laut yang terus diterokai sebagai salah satu tarikan utama.  

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, K.Raven Kumar berkata setakat ini jumlah pelancong asing telah mencecah 2.8 juta orang berbanding sasaran asal 1.5 juta orang.  


(Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri Johor, K.Raven Kumar bercakap 
pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Johor Yatch Club, Johor Jeep Club dan
Pertandingan Johor Speed Fest di Tanjung Puteri, Johor Bahru) 

"Kita dah capai 2.8 juta (pelancong) lah 'until now', jadi ini menunjukkan 100% 'increase of tourist' ke negeri Johor, tarikan utama Desaru dan Iskandar Puteri, ini belum masuk lagi sempadan China masih tutup, kalau China lain kali ada, mungkin memberangsangkan lagi," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Johor Yatch Club, Johor Jeep Club dan Pertandingan Johor Speed Fest di Tanjung Puteri, di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan program tersebut yang akan menjadi salah satu tarikan pelancongan negeri ini. 

Membabitkan penyertaan daripada 12 peserta dari dalam dan luar negara, acara bermula semalam dijangka menarik 30,000 pengunjung yang bakal menyaksikan pelbagai pameran melibatkan kereta mewah, pacuan empat roda dan pertandingan jetski.  

Media Baharu