fb fb fb fb fb

Polis Johor tahan lelaki tipu urusan jual beli jam tangan, beg tangan mewah

JOHOR BAHRU, 26 November - Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 November lalu apabila dipercayai memperdayakan empat individu dalam urusan jual beli jam tangan dan beg tangan mewah di Johor sejak Ogos hingga November tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan kes berlaku di Iskandar Puteri dan Johor Bahru melibatkan mangsa yang merupakan ahli perniagaan berumur 31 hingga 40 tahun yang kerugian RM20 juta selepas ditipu suspek.

Suspek menawarkan jam tangan seperti Audemars Piguet dan Patek Philipe serta beberapa beg tangan kepada mangsa dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Suspek berurusan dengan mangsa secara bersemuka sebelum meminta mangsa membuat bayaran ke akaun bank selepas bersetuju dengan harga ditawarkan dan suspek melarikan diri selepas menerima bayaran serta gagal dihubungi.


(Antara jam tangan mewah yang dirampas pihak polis selepas menahan seorang lelaki 
terlibat dalam penipuan urusan jual beli jam tangan dan beg tangan mewah)  

Siasatan juga mendapati suspek menjalankan sindiket yang sama di negeri Perak.

Turut dirampas, empat jam tangan dan dua beg tangan berjenama mewah.

Suspek direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Media Baharu