fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya pada 2026 - Fahmi

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Mesyuarat Kabinet memutuskan bahawa tiada kenaikan kadar tol akan dikenakan bagi 10 konsesi lebuh raya pada tahun 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, dengan kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

"Perincian mengenai konsesi lebuh raya terlibat akan diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR). Maklumat lanjut dijangka dikeluarkan melalui kenyataan rasmi KKR hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri turut menegaskan keperluan supaya kerja-kerja menyiapkan serta melengkapkan peralatan bagi Pusat Kanser Sarawak dipercepatkan.

"Perdana Menteri turut mengambil maklum hasrat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyalurkan peruntukan tambahan bagi melengkapkan beberapa peralatan khusus di pusat berkenaan.

"Di peringkat Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri telah mengarahkan susulan segera dilaksanakan bagi mempercepatkan proses penyiapan Pusat Kanser Sarawak demi memastikan kemudahan itu dapat beroperasi secepat mungkin," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM