KUALA LUMPUR, 18 Disember - Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Komunikasi selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari depan bagi mengadakan perbincangan berhubung pengurusan dana, penubuhan pejabat dan inisiatif memperkukuh industri media negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MMM telah selesai proses pelantikan dan latihan pemilihan ahli lembaga, namun beliau belum dimaklumkan sama ada pengerusi telah dipilih.
"Insya-Allah, pada minggu pertama atau selewat-lewatnya minggu kedua Januari, saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak MMM bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk dana, pejabat dan inisiatif yang perlu digerakkan," katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Datuk Fahmi berkata, kementeriannya komited memastikan industri media kekal bebas, berdaya saing dan mampan, selain berupaya mendepani cabaran semasa termasuk tekanan ekonomi.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan MMM mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi menangani undang-undang bersifat regresif terhadap kebebasan media.
Datuk Seri Anwar berkata, MMM yang akan mengawal selia industri media tempatan, mempunyai peranan penting dalam memperkukuh kebebasan media di negara ini.