fb fb fb fb fb

Tiada halangan doktor Malaysia bekerja di luar negara – KKM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan perasmian pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan pada Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025 di Bandar Tun Razak / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan tiada sebarang halangan dari sudut perundangan bagi pengamal perubatan negara ini, termasuk doktor dan jururawat, untuk berkhidmat di luar negara, termasuk negara jiran seperti Singapura.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pengambilan tenaga kerja antara negara-negara ASEAN dibenarkan di bawah Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS) yang telah dipersetujui bersama oleh negara-negara anggota.

“Kerajaan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melarang pengamal perubatan, termasuk jururawat, daripada bekerja di luar negara. Begitu juga dengan pengambilan pekerja oleh syarikat berdaftar di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan anjuran KKM di ibu negara.

Walaupun tiada sekatan dikenakan, KKM tetap komited untuk mengekalkan tenaga profesional kesihatan dalam sistem awam negara, khususnya melibatkan doktor, pakar dan jururawat berkemahiran tinggi.

Menurut Dr. Dzulkefly, pihak kementerian akan mempertingkat langkah bagi membendung aliran keluar tenaga kerja kesihatan, selain terus menawarkan insentif dan persekitaran kerja yang kompetitif agar sektor kesihatan awam kekal kukuh.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengadakan sesi temu duga terbuka dengan doktor dan pengamal perubatan am dari Malaysia di ibu negara.

Perkara tersebut menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang pengguna di media sosial Threads.

Antara tawaran termasuk gaji permulaan sekitar SGD110,000 setahun (kira-kira RM384,000), elaun penginapan bulanan, perlindungan insurans kesihatan
dan pelbagai faedah tambahan lain.

Langkah tersebut dipercayai sebahagian daripada usaha Singapura untuk menarik tenaga kerja kesihatan dari rantau ini bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan awam negara itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN