fb fb fb fb fb

JKMS terima peruntukan lebih RM200 juta untuk program bantuan bulanan

Foto hiasan

LUNDU, 12 Julai - Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menerima peruntukan sebanyak RM209.67 juta bagi program bantuan bulanan tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri memaklumkan sehingga Jun, seramai lebih 45,800 penerima telah mendapat manfaat, melibatkan perbelanjaan kira-kira RM130.24 juta.

"Ketua-ketua masyarakat di seluruh Sarawak agar lebih proaktif memperluaskan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU).

"Setakat Jun, seramai 56,401 individu OKU telah berdaftar di Sarawak, namun jumlah itu masih belum mencerminkan angka sebenar kerana halangan seperti stigma, rasa malu dan kurang kesedaran dalam kalangan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Perkhidmatan Agensi-Agensi Utama bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.

Datuk Seri Nancy menggesa ketua masyarakat agar mengenal pasti lokasi serta keperluan OKU di kampung masing-masing, bagi membolehkan lebih banyak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ditubuhkan, khususnya di kawasan yang belum mempunyai kemudahan tersebut.

Taklimat itu turut disertai agensi-agensi lain bawah KPWKM seperti JKMS dan Yayasan Kebajikan Negara, yang turut berkongsi maklumat berkenaan bantuan sedia ada dan intervensi segera untuk kes kecemasan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI