fb fb fb fb fb

Program MADANI Rakyat terima sambutan luar biasa, catat lebih 66,000 pengunjung

Reruai Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu menerima sambutan luar biasa apabila merekodkan lebih 66,000 pengunjung hadir di Pasar Kedai Payang di sini sejak Khamis lalu.

Meskipun program kali ini dalam skala lebih kecil, berbanding edisi di Sabah, Johor Dan Perak, namun ia melebihi sasaran awal iaitu 25,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, program tiga hari itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dengan pameran interaktif yang membolehkan rakyat mendapatkan maklumat, perkhidmatan, dan peluang bertanya secara langsung.

Ini secara tidak langsung, pengunjung boleh melihat sendiri usaha kerajaan, menyertai aktiviti, dan memahami manfaat yang disediakan bawah kerangka Malaysia MADANI.

"Kita ingin menggalakkan penyertaan rakyat dan penglibatan rakyat. Apa juga program yang dilaksanakan adalah untuk kesejahteraan, kebajikan rakyat bawah Kerajaan MADANI.

"Kita tidak mahu buat program yang sia-sia. Jadi program seperti ini akan memberi penerangan jelas kepada rakyat berkenaan tindakan yang sedang dilakukan kerajaan. Apa yang dilakukan atau dilaksanakan akan dimaklumkan kepada rakyat.

"Ini juga peluang kepada rakyat untuk memahami dengan lebih jelas arah tuju kerajaan dalam membina landskap baharu selain menerima manfaat daripada program ini di reruai yang terdapat pada setiap program," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke reruai bawah Kementerian Komunikasi termasuk RTM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pasar Kedai Payang, di sini.

RTM menjalankan pelbagai pengisian seperti siaran langsung, sesi temu bual bersama pemimpin tempatan serta pengaktifan platform digital RTM Klik.

Manakala MCMC mengetengahkan inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang kini mempunyai lebih 1,099 lokasi di seluruh negara.

Melalui NADI, rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman boleh mengakses kemudahan internet, komputer, mesin cetak, dan mendapat bimbingan secara digital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI