JITRA, 12 Julai- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memantau perkembangan adik Putri Qisya Nur Izzati Mohamad Azim, 12 tahun yang bergelar yatim piatu selepas ibu bapa dan empat orang adiknya terkorban dalam nahas di Sungai Korok, Jerlun, minggu lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memastikan hasrat Putri Qisya Nur Izzati yang juga anak angkat MARA untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tahun hadapan, berjalan lancar.
Menurut Datuk Dr. Asyraf Wajdi, selain mengekalkan prestasi cemerlang dalam pelajaran, pihaknya akan memberikan tuisyen khas kepada adik Putri Qisya Nur Izzati bagi membolehkannya menjawab ujian kemasukan ke MRSM.
"Saya telahpun mengarahkan MARA Negeri Kedah untuk memantau situasi ini dari sekarang, bertemu dengan pihak sekolah dan berbincang agar prestasi pelajarannya tidak sekali-kali terjejas akibat tragedi yang menimpa keluarganya.
"Ya, memang bukan mudah bagi anak sekecil itu untuk menghadapi musibah ini. Sebab itulah, ketika saya bertemu dengannya, saya menekankan agar beliau melakukan yang terbaik dan mengingati hasrat serta wasiat ibu bapanya.
"Ibunya pernah menyatakan harapan agar anaknya benar-benar dapat melanjutkan pelajaran ke MRSM," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu Tahun 2025 di sini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar.
Dalam kejadian 7 Julai lalu, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan maut bersama empat anak mereka apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok, iaitu dua hari selepas mereka dilaporkan hilang.
Empat anak mereka yang turut terkorban ialah Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan.
Kejadian menyebabkan Putri Qisya Nur Izzati yang tidak berada bersama keluarganya ketika insiden berlaku, bergelar yatim piatu dan kini tinggal bersama ibu saudaranya di Taman Sri Aman, Jitra.