(Setakat seminggu pelaksanaannya, SKSSR sudah mencatat pendaftaran
1,092 pencarum)
PUTRAJAYA, 12 Disember- Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 500,000 pencarum menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menjelang akhir tahun depan.
Menterinya V.Sivakumar berkata, tiada had umur minimum untuk mencarum bawah skim berkenaan.
"Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 bagi menerima perlindungan bencana domestik dan perlindungan kesihatan selama 12 bulan.
"Saya juga bercadang untuk memberi taklimat kepada 222 ahli parlimen supaya mereka juga boleh membantu untuk mengongsikan skim ini di kawasan masing-masing," katanya.
Tambah beliau, SKSSR dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) yang dikawal selia Perkeso.
Inisiatif diperkenalkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2018 bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial komprehensif kepada wanita.
Setakat seminggu pelaksanaannya, SKSSR sudah mencatat pendaftaran 1,092 pencarum.
(V Sivakumar bercakap ketika sidang media mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah/BERNAMA)