fb fb fb fb fb

Tiada cadangan iktiraf Kampung Baru sebagai Tapak Warisan UNESCO

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat Kampung Baru sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pengiktirafan UNESCO akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan Kampung Baru tidak dapat diteruskan.

"Pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan, yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh UNESCO.

"Pengiktirafan warisan diketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya yang bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menetapkan Kampung Baru di Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Tambah Zaliha, kerajaan komited mengangkat Kampung Baru sebagai Bandar Melayu yang terkemuka di Kuala Lumpur.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN