fb fb fb fb fb

Kastam rampas kurma dari Israel

Datuk Sazali Mohamad menunjukkan kurma produk Israel dan rokok yang dirampas

KLANG, 13 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya merampas 73 pek buah kurma berlabel 'Organic Jumbo Medjool Dates' yang disyaki dari Israel.

Hasil serbuan yang dibuat di sebuah gudang terletak di Klang, Selangor pada pukul 11.30 pagi semalam, seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad memberitahu pemeriksaan dilakukan rentetan sebuah video yang tular di media sosial berkenaan terdapat sebuah premis menjual buah kurma yang disyaki produk dari Israel.

"Kurma itu diisytihar dalam borang Kastam sekali dengan makanan lain dan di ikrar sebagai 'food stuff', jadi melihat pada dokumen tersebut kesemua barangan itu datang dari sebuah negara di Eropah, tidak dinyatakan dari Israel,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau bercakap pada sidang media JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) di Klang, Selangor.

Selain itu, JKDM juga berjaya menyekat penyeludupan rokok, minuman keras ,e-waste dan bateri terpakai membabitkan anggaran nilai dan cukai keseluruhan bernilai RM6.665 juta.

Pada 22 dan 29 Februari lalu, sebanyak 5,920,000 batang rokok berjaya dirampas hasil dua serbuan yang dilakukan.

Anggaran nilai dan cukai bagi dua hasil rampasan tersebut adalah lebih RM4 juta.

Selain itu, pada 29 Februari lalu juga, sebanyak dua buah kontena yang melibatkan anggaran kuantiti 2 juta batang rokok, 225 liter minuman keras dan 4,000 kilogram dagangan disyaki e-waste turut berjaya dirampas.

Anggaran nilai dan cukai bagi kesemua rampasan tersebut adalah sebanyak RM1.526 juta.

JKDM juga berjaya menahan empat buah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 28 Februari lalu yang melibatkan bateri terpakai.

Anggaran nilai dan cukai hasil penahanan itu berjumlah lebih daripada RM1 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE