fb fb fb fb fb

'Parental Control Tools' bantu ibu bapa pantau kandungan dalam talian

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan perisian Parental Control Tools bagi memantau kandungan dalam talian yang dilihat oleh anak-anak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perisian itu membolehkan ibu bapa menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan yang dilihat serta aktiviti anak-anak dalam talian dan ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan perkhidmatan perisian lain bagi tujuan sama.

“Kebanyakan penyedia platform media sosial juga mempunyai had umur pengguna akaun dengan hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun media sosial.

“Bagi memastikan syarat ini dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka. Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari yang ingin mengetahui mengenai langkah-langkah yang diambil kementerian bagi memastikan anak-anak bawah 15 tahun diharamkan memiliki akaun sosial media, agar mereka tidak mengikuti trend yang tidak baik di platform berkenaan.

Tambah Fahmi, lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan ialah CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan kekal dengan pendirian tidak menutup mana-mana pengoperasian media sosial.

Bagaimanapun, kata Fahmi, kerjasama dengan pengendali akan terus dipergiat bagi menangani isu keselamatan dalam talian termasuk kawalan penjualan produk terlarang di platform tersebut.

"Kita percaya kita perlukan kerjasama lebih baik daripada penyedia platform ini. Ada beberapa langkah sedang dipertimbang untuk pastikan sekiranya ada isu seperti keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak sebagainya dapat ditangani dengan lebih baik termasuk juga jualan produk yang tidak patut dan ada beberapa perkara ini sedang diteliti dan insya-Allah kami akan tangani dengan menyeluruh," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN