SEREMBAN, 20 Mei - Kerajaan Negeri Sembilan tidak ada rancangan untuk mengambil tindakan catuan air memandangkan negeri itu masih menerima tadahan hujan harian seperti biasa.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia berikutan paras air di tujuh buah empangan seluruh negeri setakat ini masih mencukupi iaitu melebihi 94 peratus.
"Empangan kita masih berada pada tahap yang amat memuaskan dan hujan Insya-Allah turun di beberapa kawasan yang kita tahu di kawasan tadahan air kita, dan saya berharap bahawa masyarakat Negeri Sembilan tidak terlalu panik dengan keadaan panas, cuaca panas, tetapi keadaan empangan kita masih mencukupi untuk beberapa bulan yang akan datang," kata Aminuddin, di sini.
(Aminuddin bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri
di Ibu Pejabat Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, di sini)
Empangan Talang, Empangan Pedas, Empangan Ulu Sepri mencatatkam kapasiti air 100 peratus.
Empat lagi empangan iaitu Empangan Sungai Terip mencatatkan kapasiti 95.96 peratus, Empangan Kelinci 94.52 peratus, Empangan Gemencheh 99.20 peratus dan Empangan Teriang merekodkan kapasiti air melebihi 99.24 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu panik ketik berdepan dengan cuaca panas.