KUCHING, 20 Mei - Peratus capaian rangkaian 5G di Malaysia setakat penghujung April lalu telah mencapai 59.5 peratus, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Katanya peratus capaian rangkaian 5G bagi negeri Sarawak pula telah mencapai 34 peratus.
“Jumlah capaian (di Sarawak) ini bagi saya belum memadai, oleh sebab itu saya minta Kerajaan Sarawak untuk menyenaraikan beberapa lokasi (untuk diberi capaian 5G) dan menyelaras dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Penyelarasan ini penting bagi memastikan lokasi yang diingini kerajaan negeri itu akan dapat kita ‘rollout’ 5G dalam masa terdekat,” katanya semasa berucap di Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2023 di sini.
(Fahmi Fadzil)
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan mempunyai sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini.
Pada majlis lain, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memanggil semua syarikat telekomunikasi bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu menara telekomunikasi yang tidak berfungsi disebabkan ketiadaan piring satelit di Sarawak.
Kementeriannya akan mengeluarkan arahan itu kepada MCMC dalam tempoh kurang dua minggu daripada hari ini bagi membincangkan isu yang digelar sebagai ‘menara tiada kuali.’
Beliau berkata isu itu merupakan antara beberapa aduan yang diterima sejak beliau memulakan lawatan pertamanya ke Sarawak pada Khamis lepas.
"Antara sebab saya ingin datang melihat sendiri keadaan ini ialah untuk mencari jalan penyelesaian... untuk ada Internet berkualiti, kita perlukan menara yang ada kuali... ada kuali, insya-Allah kita dapat Internet berkualiti," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian JIWA Kita MADANI di sini.
Fahmi berkata perkara kedua untuk diselesaikan ialah panggilan terputus di kawasan yang mempunyai isyarat lemah.
"Sebagai contoh, ketika saya masuk ke bangunan ini tadi, hanya satu bar sahaja tanda isyarat. Jadi kita perlukan jalan penyelesaian, apa yang diperlukan untuk dipasang di dalam bangunan ini agar isyarat tidak mengalami masalah," katanya yang berharap untuk 'menoktahkan' permasalah Internet seperti itu dengan segera agar rakyat Malaysia dapat menikmati perkhidmatan berkualiti. - BERNAMA