RAWANG, 15 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan, tiada sebarang aktiviti menyorokkan minyak masak paket daripada dijual kepada warganegara asing.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, hasil siasatan mendapati insiden tersebut berlaku disebabkan salah faham.
Fuziah mengulas video yang tular membabitkan pekerja warga asing, didakwa menyimpan stok minyak paket di sebuah pasar raya.
"Apabila pelanggan mengambil minyak tersebut mengambil lebih daripada had yang ditetakan (tiga paket), ianya akan diletakkan di bawah kaunter.
"Jadi kebetulan ada pelanggan yang ingin membeli minyak tersebut ianya diambil dari bawah kaunter tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan semula Pasaraya Giant di sini.
Menurut Fuziah, undang-undang juga tidak menyekat warga asing daripada membeli barang kawalan namun perkara itu mungkin berubah setelah kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar.
Sementara itu, terdapat keperluan untuk menambah bilangan kuota bagi program Jualan Rahmah khususnya di kawasan kampung serta Projek Perumahan Rakyat.
Bagaimanapun, cadangan tersebut masih belum mendapat kelulusan kabinet.
(Foto hiasan)