BANTING, 15 September- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan akan memastikan bekalan ikan di seluruh negara tidak terputus bagi menghadapi peralihan monsun timur laut tidak lama lagi.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata,pihaknya sudah merangka persiapan dengan mewujudkan pusat pengumpulan stok ikan bertujuan memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi.
"Kita telah tubuhkan pasukan petugas khas untuk melihat kepada keperluan bekalan ikan yang sentiasa cukup di pasaran.
"Kita akan berdepan dengan monsun jadi pasukan petugas itu untuk pastikan bekalan tidak terputus untuk memastikan bekalan itu sentiasa ada," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Faiz Fadzil juga mahu lebih ramai nelayan memantapkan hasil tangkapan terutamanya hasil laut dalam sekali gus memberikan pulangan lebih lumayan sebagai sumber pendapatan.
Terdahulu, Muhammad Faiz Fadzil menyampaikan bantuan peralatan penangkapan ikan kepada 50 orang nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat sempena Program Rahmah Mesra Madani.
Dalam pada itu, nelayan Kathan Letchuman menyifatkan bantuan tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi produktiviti dan tahap keselamatan semasa di perairan.
"Kita dapat bantuan ini dapat buat tangkapan ikan di laut dengan lebih bagus."
Bagi Mohd Fuad Ishak, dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, "alhamdulillah kerajaan bantu kita dengan dapat tong ikan dan boleh tambah baik tong-tong lama.
"Lampu kecemasan dan jaket keselamatan turut diberikan di laut," katanya.
(Muhammad Faiz Fadzil)