SEREMBAN, 15 September- Bekalan beras putih tempatan dalam pasaran mencukupi, dan pengguna di Negeri Sembilan dinasihat tidak membuat pembelian panik.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S. Veerapan berkata, pembelian panik boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat dan pengguna dinasihatkan agar membeli beras tempatan mengikut keperluan.
"Di Negeri Sembilan bekalan memang cukup untuk diberikan. Cuma pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di stor simpanan beras sebuah syarikat pembekal beras di Kuala Sawah, Rantau.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah melakukan 167 pemeriksaan di bawah Op Jamin meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit pada 7 Julai hingga 14 September.
Bagaimanapun sepanjang tempoh tersebut tiada kes penukaran label kampit beras dan harga jualan beras putih tempatan adalah mengikut harga kawalan ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Cawangan Negeri Sembilan Irwan Ahmad Rejab berkata, secara keseluruhan sebanyak 3,500 tan beras sebulan diperlukan di negeri itu dan pihaknya mendapatkan bekalan dari luar secara konsisten bagi memenuhi keperluan itu.
"Kita terima banyak banyak aduan di Seremban dan pemantauan telah dilah dilakukan. Dalam pemantauan tersebut kita dapati bekalan memang berkurang namun kita arah pembekal hantar bekalan itu segera," katanya.
Irwan Ahmad Rejab menjelaskan antara faktor menyebabkan isu kekurangan stok beras di negeri itu kerana pengguna telah beralih kepada pembelian beras tempatan berikutan kenaikan harga beras import di peringkat antarabangsa.
(Foto hiasan)