fb fb fb fb fb

Tiga maut, lori rempuh MPV dinaiki lima sekeluarga di Kemaman

(Keadaan MPV dan lori 10 tan yang terbabit kemalangan di Kemaman, Terengganu, hari ini)

KEMAMAN, 15 September- Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas terbabit kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di sini, Terengganu, petang tadi.
 
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.05 petang di Kilometer 154 Jalan Jerangau Jabor dekat persimpangan masuk ke kawasan rehat dan rawat (RnR) Bandar Ceneh Baru.
 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tiga penumpang MPV iaitu Ammir Hussein Mohamad, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anaknya, Ammar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammar Husnayan Al Hussein, 1, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman.
 
Isterinya yang juga pemandu MPV terbabit cedera parah, manakala seorang lagi anak mereka berumur 8 tahun dilaporkan kritikal.
 
Hanyan berkata, siasatan awal mendapati MPV terbabit dari arah Kuala Terengganu menuju Bandar Ceneh Baru untuk menghantar bekalan sabun kepada pelanggannya.
 
Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah lori 10 tan yang datang dari arah Bandar Chukai dipercayai mengalami masalah brek dan tidak sempat mengelak, lalu merempuh bahagian kiri hadapan MPV terbabit.
 
Akibat rempuhan itu, MPV itu diseret sejauh kira-kira 20 meter ke tepi persimpangan jalan berkenaan.
 
Pasukan Bomba dan Penyelamat Bandar Ceneh Baru mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat Ammir Hussein yang tersepit di tempat duduk hadapan.
 
Kesemua mangsa yang lain berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
 
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

(Jenazah mangsa kemalangan di Kemaman, Terengganu, hari ini)
 

Media Baharu