(Allahyarham Talip Zulpilip)
KUCHING, 15 September- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talip Zulpilip, 72, meninggal dunia, petang tadi di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini.
Perkara tersebut disahkan oleh pembantu peribadinya, Ayu Sulaiman.
Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu selepas mengadu sakit sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Dalam pada itu, kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak memaklumkan, jenazah akan diuruskan di Kompleks Pusara Islam Semariang dan dijangka dikebumikan pada pukul 9.00 malam ini.
Allahyarham Talip merupakan ADUN Jepak sejak 1996, selain pernah memegang jawatan dalam kabinet Sarawak sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman).
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Dr. Zaliha Abdullah dan dua orang anak.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menziarahi jenazah Allahyarham di hospital tersebut sejurus tiba di sini.
(Allahyarham Talip Zulpilip)