fb fb fb fb fb

IIM beri sokongan kepada Sarawak budayakan integriti

KUCHING, 15 September- Institut Integriti Malaysia (IIM) akan memberi sokongan kepada kerajaan Sarawak bagi membudayakan integriti sekali gus menjadi negeri pertama yang mendokong usaha pemantapan integriti bersama institut itu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali merangkap Pengerusi IIM, yakin ianya akan menjadi penggerak kepada negeri-negeri lain untuk mendokong usaha membentuk masyarakat berintegriti, terutamanya dalam konteks pembangunan negara.

Usaha dan inisiatif tersebut memerlukan komitmen semua pihak termasuk pemimpin dan keseluruhan institusi kerana ia bukan sahaja sebagai matlamat untuk dicapai, tetapi juga proses yang perlu dihayati secara berterusan.

"Enjin utama negara kita ialah perkhidmatan awam yang bertanggungjawab terhadap segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Jika perkhidmatan awam lumpuh, atau kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam terhakis kerana isu integriti dan rasuah, maka sudah pasti negara ini tidak akan dapat ditadbir dengan baik dan memberi impak negatif kepada ekonomi negara," katanya pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2023 dan Perasmian Persidangan Integriti Kebangsaan, PiNK2023 di sini.

Kerajaan menyokong anjakan besar itu akan dilaksanakan menerusi pemantapan struktur institusi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh tatakelola dan integriti bagi membina semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Persidangan itu dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut melancarkan Modul Integriti Penguatkuasa Sarawak dan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat.

Tan Sri Abang Johari dan Tan Sri Mohd Zuki pada majlis berkenaan turut menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak dengan Institut Integriti Malaysia.

(Tan Sri Mohd Zuki Ali)

Media Baharu