
BAYAN LEPAS, 14 Mac – Tiada aktiviti mencurigakan di kawasan perairan Pulau Pinang setakat ini namun pihak penguatkuasaan Maritim Pulau Pinang akan sentiasa memantau tahap keselamatan perairan.
- Op Pagar Laut fasa pertama dan kedua dilaksanakan Maritim Pulau Pinang bagi mencegah aktiviti haram hingga 85 batu nautika.
- Operasi menyasarkan pemancingan di kawasan larangan, penyeludupan bunga api dan pengimportan barang kawalan melalui perairan sempadan.
- Sejak 2020 hingga 2025, Op Pagar Laut merekodkan 21 tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan RM178,000.
Pengarah Maritim Pulau Pinang Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, fasa pertama dan kedua Op Pagar Laut dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang bertujuan mencegah aktiviti haram di kawasan perairan menjangkau keluasan 85 batu nautika.
Ia termasuk memancing ikan di kawasan larangan, penyeludupan bunga api, serta barang kawalan yang cuba dibawa masuk menerusi persempadanan kawasan perairan.
“Setakat hari ini, tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan. Namun, kami menjangkakan aktiviti tersebut akan memuncak menjelang Hari Raya dan sepanjang minggu perayaan, kerana ada pihak yang percaya penguat kuasa turut sibuk beraya. Bagaimanapun, tanggapan itu adalah silap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Op Pagar Laut di kawasan perairan sempadan Pulau Pinang di sini.
Untuk rekod, Maritim Pulau Pinang menerusi Op Pagar Laut telah berjaya menangkap 21 kes tangkapan sepanjang tempoh 2020 sehingga 2025 dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM178,000.