fb fb fb fb fb

THE Impact Rankings 2024 nobat UUM, 100 terbaik dunia

FOTO HIASAN

SINTOK, 12 Jun- Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya di peringkat antarabangsa dengan mencapai peningkatan ketara dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 yang diumumkan hari ini.

Pada edisi kali ini, UUM mencatat peningkatan yang membanggakan dalam prestasi keseluruhan dan seterusnya memperbaiki kedudukan di tempat 301-400 terbaik dunia.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan penghargaan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga UUM atas kejayaan yang dikecapi itu.

Menurutnya, pencapaian tersebut adalah hasil usaha gigih semua pihak yang berterusan mengharumkan nama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Peningkatan ini adalah hasil usaha gigih UUM dalam memperkukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Kita bukan sahaja mahu cemerlang dalam akademik, malahan turut membantu pelajar-pelajar yang memerlukan dan memberi mereka akses pendidikan yang sempurna," katanya.

THE Impact Rankings 2024 menilai impak universiti di seluruh dunia berdasarkan pencapaian terhadap 17 SDG.

Secara keseluruhan, UUM berjaya menyerlah dalam lima daripada 17 matlamat SDG iaitu SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), SDG 11 (Kelestarian Bandar dan Komuniti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Yang Teguh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Daripada lima matlamat yang dicapai itu, UUM terbukti berjaya memberikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk program biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan apabila disenaraikan di kedudukan ke-72 bagi SDG 10.

Selain itu, UUM turut menyerlah dalam empat matlamat lagi iaitu SDG 4 di kedudukan (101-200); SDG 11 (201-300); SDG 16 (101-200) dan SDG 17 (201-300).

Menerusi pencapaian itu, UUM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia dan di arena antarabangsa serta menunjukkan bahawa pendidikan tinggi di Malaysia mampu memberikan impak positif yang signifikan kepada dunia.

THE Impact Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 1963 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024.

Pautan keputusan penuh: https://www.timeshighereducation.com/impactrankings

1206 UUM RANKINGSNaib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE