PUTRAJAYA, 12 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Wong di sambut Datuk Seri Anwar dan kedua-dua pemimpin itu seterusnya mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura.
Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin kira-kira dua jam itu kemudian disusuli sidang media khas antara kedua-dua buah negara bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala.
Ini merupakan lawatan luar negara pertamanya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei.
Lawatan pengenalan selama dua hari itu adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut bersama menyambut kunjungan hormat petang tadi adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Lawrence, 51 tahun yang sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menggantikan Lee Hsien Loong, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura sejak 2004.
Beliau dipilih oleh Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak republik itu mencapai kemerdekaan pada 1965.