PUTRAJAYA, 12 Jun- Malaysia-Singapura komited memastikan ASEAN berfungsi dengan efektif dan fokus dalam mendepani cabaran baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
Beliau memaklumkan kedua-dua negara menyifatkan ASEAN sebagai sangat penting dan strategik.
Serta, membincangkan keperluan kedua-dua negara bekerja bersama dalam rangka kerja ASEAN.
"Kami telah menyentuh beberapa keperluan untuk bekerja bersama dalam rangka kerja ASEAN. Ini kerana Malaysia dan Singapura menyifatkan ASEAN amat penting dan strategik.
"Kami berdua komited untuk memastikan ASEAN dapat berfungsi dengan lebih berkesan dan memberi tumpuan kepada cabaran baharu, tenaga, perdagangan digital dan pelaburan bersama," kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Bersama - Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong optimis, ASEAN akan berkembang sebagai satu komuniti yang lebih kukuh.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar.
"Tahun depan, Malaysia akan menyandang jawatan Pengerusi ASEAN, Singapura yakin bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, ASEAN akan berkembang lebih jauh sebagai komuniti yang lebih kukuh dan bersepadu serta akan mengeratkan hubungan dengan rakan dialog luar," kata Lawrence.