PASIR PUTEH, 24 September- Lapan nelayan warga Vietnam termasuk seorang tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan selepas dikesan berada dalam sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C2 kira-kira 4.8 batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan sekitar 12.30 tengah malam menerusi rondaan Op Naga, Op Damai dan Op Tiris.
"Hasil pemeriksaan mendapati, semua kru berusia 25 hingga 37 tahun itu tidak memiliki permit kerja sah selain dokumen pasport yang meragukan.
Turut dirampas, hasil laut dianggarkan seberat 5,000 kilogram bersama bot serta peralatan menangkap ikan," katanya.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden atau jenayah di laut ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di 09-778 0070.