DILI, 24 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima 'The Grand Collar of The Order of Timor-Leste', yang merupakan anugerah tertinggi negara itu.
Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala dan serantau.
Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Dr José Ramos-Horta kepada Datuk Seri Anwar selepas beliau menyampaikan Syarahan Presiden bertajuk 'ASEAN & Peranan Timor-Leste' di Istana Presiden di sini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengetengahkan perancangan jangka sederhana dan panjang ASEAN, cabaran serantau termasuk keupayaan Timor-Leste dalam blok ASEAN.
Beliau menyifatkan pemberian itu sebagai satu pengiktirafan besar kepada Malaysia berikutan dasar dan kerjasama rakyat yang bersatu padu.
Difahamkan, darjah kebesaran sama sebelum ini pernah dianugerah kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.