KUALA KUBU BHARU, 8 November - Kira-kira 300 asatizah (ustaz dan ustazah) dan pegawai masjid hadir pada Multaqa Asatizah Hulu Selangor 2025 dan sesi dialog bersama anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Darul Quran di sini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata antara tujuan utama penganjuran multaqa itu ialah untuk mendengar aspirasi serta memahami cabaran semasa para asatizah dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah di lapangan.
Program yang menghimpunkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, nazir serta penceramah bertauliah itu menjadi medan pertemuan rasmi antara para pendakwah di peringkat daerah dengan pentadbiran tertinggi hal ehwal agama peringkat nasional.
Selain sesi dialog terbuka, program berkenaan turut menjadi platform penyelarasan hala tuju dakwah tempatan agar selaras dengan dasar dan keutamaan kerajaan dalam pembangunan sahsiah umat Islam.