fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas MTL layak tuntut BWI lebih daripada sekali dalam setahun

Foto RTM

RANTAU PANJANG, 8 November - Penduduk terjejas bencana pada Monsun Timur Laut (MTL) kini layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) lebih daripada sekali dalam tempoh setahun.

Ini selepas penambahbaikan dibuat bermula tahun ini yang membolehkan setiap isi rumah terkesan membuat tuntutan BWI setiap tiga bulan berbanding sekali sebelum ini.

Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jefny Muhammad berkata, penambahbaikan itu diputuskan berikutan MTL yang berlangsung selama enam bulan bermula November hingga Mac.

"Penambahbaikan ini membolehkan bantuan BWI layak diterima setiap tiga bulan sekali. Maksudnya jika awal dan hujung tahun berdepan bencana, maka mereka layak menerima bantuan ini dua kali," jelasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Bencana Peringkat Komuniti di Masjid Tasek Gondang, Rantau Panjang, di sini.

Dalam perkembangan sama, Jefny berkata, isi rumah terlibat boleh membuat pendaftaran awal menerusi aplikasi MyIBJKM untuk memudahkan proses pengurusan terutama ketika berdepan bencana.

Aplikasi tersebut disediakan bagi memudahkan urusan pendaftaran, pengumpulan data seterusnya mengelakkan keciciran penduduk terjejas bencana dan memudahkan proses pengurusan bantuan BWI.

Setakat 31 Oktober, 109,986 keluarga telah berdaftar dalam MyIBJKM dengan Kelantan merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi, iaitu 45,289 keluarga, disusuli Terengganu (28,250) manakala Johor (14,539).

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN