fb fb fb fb fb

JKKN terus subur warisan seni budaya menerusi program bimbingan & perantisan seni

Mohd Radzi Omar

KUALA LUMPUR, 8 November - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited memperkukuh usaha melahirkan generasi berjiwa serta celik seni budaya menerusi pelaksanaan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) dan Program Perantisan Seni bagi tahun 2024/2025.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd Radzi Omar berkata, kedua-dua program itu berperanan penting dalam menyemai minat, kemahiran dan kecintaan terhadap seni budaya dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

"Program ni bukannya kita nak melahirkan artis...tetapi sekurang-kurangnya para pelajar ni memahami tentang seni budaya, nilai-nilai supaya mereka lebih mencintai seni dan budaya kita. Sekiranya mereka bijak dalam bidang akademik dan seni budaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Program Bimbingan Seni Budaya dan Perantisan Seni 2025 JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di ibu negara.

Dalam ucapannya sebelum itu beliau menjelaskan, matlamat program tersebut bukan sekadar melahirkan pelajar yang mahir dalam seni, tetapi juga memahami nilai, disiplin dan warisan budaya yang menjadi asas jati diri bangsa.

Penghargaan turut diberikan kepada JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, para jurulatih, tenaga pengajar, Jabatan Pendidikan Negeri, institusi pengajian tinggi serta penggiat seni tempatan atas komitmen menjayakan inisiatif berkenaan.

Program Bimbingan Seni Budaya kini dilaksanakan di 40 buah sekolah terpilih seluruh negara, melalui dua kategori iaitu Kelab Tunas Budaya (KTB) bagi murid berumur 7 hingga 11 tahun dan Kelab Giat Budaya (KGB) untuk pelajar berumur 13 hingga 16 tahun.

Mereka dibimbing Jurulatih Seni Budaya Negara dalam enam bidang utama iaitu tari, muzik, teater, silat, gasing dan seni berbahasa.

Sementara itu, Program Perantisan Seni yang dilaksanakan sejak 2009 terus menjadi platform penting dalam memulihara seni tradisional melalui pendekatan mentor-mentee.

Tahun ini, program tersebut dilaksanakan di 14 negeri melibatkan pelbagai kesenian seperti Awang Batil di Perlis, Mek Mulung di Kedah, Wayang Kulit Jawa di Selangor, Opera Cina di Kuala Lumpur, Mak Yong Kanak-kanak di Kelantan, Tarian Gamelan di Pahang dan Chingay di Pulau Pinang.

Sehingga kini, sebanyak 83 kumpulan perantisan diwujudkan dengan penyertaan 1,848 peserta melibatkan 64 jenis kesenian tradisional.

Menyifatkan seni budaya sebagai cerminan identiti bangsa, beliau berkata; 'Jika seni hilang, maka hilanglah sebahagian daripada roh dan jati diri bangsa.'

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terus memartabatkan warisan budaya agar terus hidup dalam jiwa rakyat Malaysia.

Majlis apresiasi tersebut turut meraikan peserta dan jurulatih yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kedua-dua program berkenaan, di samping persembahan khas menampilkan bakat muda hasil bimbingan JKKN.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI