KOTA TINGGI, 24 September- Negara anggota ASEAN menegaskan semula kesepaduan dan kepusatannya sebagai teras kerjasama pertahanan dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Pendekatan itu disepakati pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Lokman Hakim Ali di Desaru, Johor, hari ini.
Sidang itu menghimpunkan pegawai kanan pertahanan ASEAN dengan penglibatan Sekretariat ASEAN, manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
Mesyuarat turut merangka 10 inisiatif baharu yang akan dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 bulan depan.
Ia merangkumi usaha memperkukuh kerjasama, meningkatkan kesiapsiagaan operasi, serta mempertingkat keupayaan menghadapi ancaman serantau.
Hasil mesyuarat ini juga menjadi pemangkin persediaan ke arah ADMM dan ADMM-Plus, demi memastikan ASEAN terus bersatu serta bersedia mengekalkan keamanan dan kemakmuran rantau ini.