fb fb fb fb fb

FINAS luluskan RM1.25 juta laksana projek perintis Bengkel Komuniti Filem, Belia Kreatif

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 8 November - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah meluluskan RM1.25 juta daripada RM12 juta peruntukan dalam Belanjawan 2025, untuk melaksanakan projek perintis Bengkel Komuniti Filem dan Belia Kreatif di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata menerusi projek perintis itu, sebanyak 25 persatuan dan syarikat telah dipilih membabitkan 25 lokasi iaitu 11 program di Sabah, Selangor (empat), Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing (dua), manakala satu di Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Kedah dan Sarawak.

“Program ini akan diteruskan sehingga Disember 2026, menandakan komitmen jangka panjang Kerajaan MADANI terhadap pembangunan industri kreatif yang menyasarkan pelaksanaan program ini di 240 lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis “Penutupan Bengkel Komuniti Filem dan Belia Kreatif” serta Penyerahan Surat Tawaran Dana Pemangkin Generasi MADANI di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ahli Perbadanan FINAS Rozaidi Abdul Jamil dan Pengarah Pembangunan Industri FINAS Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan.

Teo berkata menerusi program perintis itu, sebanyak 225 permohonan daripada persatuan dan syarikat telah diterima bermula pada 15 Ogos hingga 1 Sept, termasuk 11 permohonan dari Sabah yang telah diberikan peruntukan sebanyak RM550,000.

“Program ini juga dijangka menerima penyertaan 330 belia kreatif tempatan sepanjang tahun ini di Sabah dan ini satu angka yang cukup membanggakan,” katanya dan menambah bahawa lebih 70 peratus pembikin kandungan digital ialah anak muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Beliau berkata kerajaan melalui FINAS, turut melaksanakan Dana Pemangkin Generasi MADANI bernilai RM5 juta, khusus untuk membantu pembikin muda menghasilkan karya yang menonjolkan perpaduan dan keharmonian masyarakat, identiti serta jati diri bangsa dan nilai-nilai positif Malaysia MADANI.

Teo berkata sepanjang tempoh permohonan dana itu dari 19 Ogos hingga 12 Sept, sebanyak 265 permohonan projek telah diterima dan semua permohonan kini sedang melalui proses pitching secara berperingkat.

“Di Sabah pula sebanyak enam projek telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM900,000 merangkumi telemovie, dokumentari dan filem pendek yang dijangka mewujudkan 130 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Pada program itu, Teo turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 30 peserta yang telah menyertai bengkel berkenaan yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dan menyerahkan surat tawaran kepada enam penerima Dana Pemangkin Generasi MADANI. -BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM