fb fb fb fb fb

Kawasan paip gas bocor di tapak ECRL disahkan selamat, terkawal

Superintenden Mohd Razi Rosli

KEMAMAN, 24 September - Insiden kebocoran paip gas butana di tapak pembinaan Projek Rel Pantai Timur (ECRL), di Kerteh di sini disahkan selamat dan terkawal bermula hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, bacaan tahap kualiti udara pada operasi yang memasuki hari kelima hari ini menunjukkan tiada kandungan gas berkenaan di sekitar kawasan tempat kejadian.
 
Keputusan berkenaan dibuat selepas pemantauan yang dilakukan selama dua hari mendapati bacaan kandungan gas dalam udara berada pada tahap kosong.

"Selepas ini, fasa siasatan akan dijalankan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di lokasi kejadian. Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan pemantauan aspek keselamatan dengan mewujudkan Pusat Kawalan Polis atau pos kawalan polis di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
 
Superintenden Mohd Razi berkata, pihak Petronas dan JKKP akan terus melakukan pemantauan sehingga keadaan selamat bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
 
Susulan pemakluman itu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup secara rasmi kira-kira pukul 4.00 petang tadi.
 
Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi JBPM Terengganu Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali, berkata Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) akan terus berada di lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan pada skala lebih kecil.
 
"Persediaan ini merujuk kepada bacaan alat pengesan di lokasi, khususnya di kawasan ‘down area’, kerana dibimbangi masih terdapat sisa gas yang keluar bersama nitrogen yang berada di dalam paip.

"Menurut pihak bomba, pemantauan susulan akan dilakukan bersama pihak polis dan beberapa agensi lain sebelum kawasan kejadian dapat diisytiharkan selamat sepenuhnya," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi berasa bimbang dan boleh meneruskan aktiviti seharian seperti biasa.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI