fb fb fb fb fb

Thalatha Tis’a lahir generasi celik al-Quran seawal 3 tahun

Foto RTM

DUNGUN, 25 Jun– Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Terengganu melaksanakan program rintis "Thalatha Tis’a" di tiga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) terpilih bagi melahirkan generasi celik al-Quran seawal usia tiga tahun.

Pengerusi Komuniti KEMAS Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, seramai 100 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun telah menyertai program berkenaan yang bermula sejak Februari lalu.

Program itu memperkenalkan pendidikan tahfiz pada usia awal, dengan sasaran kanak-kanak dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran sebelum mencapai umur sembilan tahun.

“Bagi melengkapkan pelaksanaan, kita turut menjemput tiga guru pakar dari Indonesia, masing-masing ditempatkan di Dungun, Besut dan Hulu Terengganu.

"Mereka telah terbukti berjaya membimbing kanak-kanak seawal usia tiga dan empat tahun untuk menghafaz keseluruhan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis "Thalatha Tis’a" anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di TASKA KEMAS 2 Setia, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini.

Tambahnya, dua lagi TASKA terlibat dalam program rintis itu ialah TASKA KEMAS Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAK) Gong Kemas di Besut dan TASKA KEMAS Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

Menurut Datuk Rozi, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu TASKA di setiap kawasan Parlimen di Terengganu melaksanakan program itu pada tahun hadapan, selain bercadang memohon kepada kementerian berkaitan untuk memperluaskan pelaksanaannya.

Program itu turut memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran membaca, menghafaz, dan menulis bahasa Arab.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM