KUALA SELANGOR, 25 Jun - Hutan Simpan Raja Musa di Kuala Selangor dipilih sebagai contoh terbaik tapak rujukan pemuliharaan hutan paya gambut oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut (ATFP).
Pengerusinya, Siva Kumar Solay Rajah berkata, lokasi tersebut dipilih susulan kejayaan usahasama kerajaan negeri merubah kawasan yang dahulunya terjejas akibat aktiviti pembalakan haram, menjadi model bersepadu sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"Delegasi tujuh negara telah hadir pada hari ini untuk kita tunjukkan kepada ASEAN tentang usaha yang telah kita lakukan untuk memelihara dan memulihara kawasan paya gambut ini.
Rata-rata mereka memberi maklum balas yang sangat positif dan kagum dengan usaha ini serta mahu kita berkongsi kaedah terbaik untuk memulihara hutan gambut," ujarnya.
Projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Sumber Asli dan Jabatan Perhutanan, dengan sokongan dana antarabangsa.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian ketika ditemui pada lawatan tapak delegasi ATFP ke Hutan Simpan Raja Musa di sini hari ini.
Malaysia merupakan tuan rumah dan pengerusi bagi Mesyuarat ATFP ke-10 yang diadakan pada 24 hingga 26 Jun di Putrajaya bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Terletak di Bestari Jaya, Hutan Simpan Raja Musa yang diwartakan pada 8 Januari 1990 dengan keluasan 23,486 hektar, turut berperanan sebagai hutan pengeluaran, penyelidikan dan perlindungan hidupan liar.
Hutan simpan itu juga pernah mendapat pengiktirafan Queen’s Commonwealth Canopy (QCC) pada September 2017 untuk tujuan kawasan pemeliharaan kepada generasi akan datang.